PENGENALAN 27 Pindaan telah dimasukkan ke dalam Perlembagaan. Sepuluh

PENGENALAN

Latar Belakang Amerika
Syarikat

We Will Write a Custom Essay Specifically
For You For Only $13.90/page!


order now

Amerika
Syarikat merupakan sebuah persekutuan republik yang terdiri daripada 50 buah
negeri dan satu daerah persekutuan.1 48
negeri berhampiran dan daerah persekutuan Washington, DC terletak di pusat
bandar Amerika Utara antara Kanada dan Mexico. Keluasan sebanyak 3.79 juta batu
persegi dan dengan kira-kira 315 juta orang penduduk menjadikan Amerika
Syarikat sebagai negara ketiga atau keempat terbesar dari segi jumlah kawasan.
Amerika Syarikat adalah salah satu negara yang memiliki jumlah etnik dan budaya
terbanyak di dunia berikutan hasil daripada imigrasi besar-besaran dari pelbagai
negara.2

Penjajahan
Eropah bermula di sekitar tahun 1600-an dan kebanyakannya datang dari England.
Amerika Syarikat muncul dari jajahan British thirteen dan terletak di sepanjang
pesisir Atlantik. Pertikaian antara Great Britain dan negara-negara jajahan
Amerika membawa kepada Revolusi Amerika. Pada 4 Julai 1776, wakil-wakil dari
negara-negara jajahan “thirteen” sebulat suara mengeluarkan Perisytiharan
Kemerdekaan yang ditubuhkan di Amerika Syarikat. Perang Revolusi Amerika, yang
berakhir dengan pengiktirafan kemerdekaan Amerika Syarikat dari Kerajaan Great
Britain merupakan peperangan pertama yang berjaya mencapai kemerdekaan terhadap
empayar penjajah Eropah.3
Perlembagaan semasa telah diterima pada 17 September 1787. 27 Pindaan telah
dimasukkan ke dalam Perlembagaan. Sepuluh pindaan yang pertama, secara kolektif
dinamakan Rang Undang-Undang Hak Asasi pada tahun 1791 dan menjamin hak-hak
sivil asas dan kebebasan.4

Latar Belakang
Perang Dunia Pertama

Latar belakang Perang Dunia Pertama dapat
difahami dengan jelas jika melihat kepada suasana di Eropah pada ketika itu.
Hal ini demikian kerana peperangan ini bermula di kawasan Balkan iaitu di
bahagian Tenggara Eropah yang disebabkan oleh ketegangan di antara Serbia dan
Austria-Hungary dan peperangan ini telah berlangsung selama empat tahun iaitu dari
tahun 1914 sehingga 1918.5

            Perang
ini dikenali sebagai Perang Dunia Pertama oleh kerana ianya melibatkan 30 buah
negara daripada enam buah dunia dan didapati telah melibatkan kehilangan nyawa
seramai 15 juta orang. Antara negara utama yang terlibat dalam perang ini
termasuklah Britain, Perancis, Russia, Jerman, Austria-Hungary, Itali dan turut
melibatkan tanah jajahan negara-negara tersebut. Beberapa dekad sebelum perang
ini meletus,  negara-negara di Eropah
telah menunjukkan sikap kesangsian dan persaingan yang kuat antara satu sama
lain. Situasi ini kemudiannya telah membawa kepada kebangkitan nasionalisme,
perkembangan imperialisme dan ketenteraan serta pakatan politik yang telah
menjadi faktor utama meletusnya perang ini. Joyce Appleby, Alan Brinkley dan
James M. McPherson dalam buku mereka The
American Journey telah menyatakan bahawa nasionalisme merupakan salah satu
faktor yang menyebabkan perang ini berlaku.6

            Nasionalisme
pada dasarnya bermaksud perasaan cinta pada negara dan bangsa sendiri. Namun
begitu, di Eropah khususnya kebangkitan nasionalisme dilihat sebagai penyatu
serta penggalak kepada pembentukan negara bangsa baru seperti Itali dan Jerman
untuk mereka mengukuhkan kuasa di dunia. Hal ini dibuktikan apabila Itali
menjadi sebuah negara pada tahun 1860-an manakala Jerman pula berjaya disatukan
pada 1870-an. Situasi ini dilihat seolah mencabar kedudukan negara yang lebih
awal dibina seperti Perancis dan Britain. Buktinya, Perancis selaku seteru
utama Jerman merasa terancam dengan penyatuan Jerman dan masih lagi menuntut
wilayahnya yang dirampas oleh Jerman iaitu Alsace dan Lorraine. Kebangkitan
nasionalisme turut berlaku dalam kumpulan etnik yang berkongsi bahasa serta
tradisi yang sama.7 Hal ini
dapat dilihat pada Russia yang menganggap negaranya sebagai pemimpin bagi
negara-negara berbangsa Slav seperti Serbia. Kebangkitan nasionalisme di Eropah
ini sedikit sebanyak telah menyuburkan benih-benih kebencian antara negara yang
terlibat dan akhirnya membawa kepada Perang Dunia Pertama.

 

REAKSI
AWAL AMERIKA SYARIKAT (AS) TERHADAP PERANG DUNIA PERTAMA

 

AS
dibawah pimpinan Presiden Woodrow Wilson telah mengambil jalan selamat iaitu
mengamalkan sikap berkecuali.8
Beliau telah mengumumkan pada 4 Ogos 1914 bahawasanya tidak ada seorang pun
warganegara Amerika yang boleh mengambil bahagian dalam Perang Dunia Pertama
secara langsung atau tidak langsung. Kenyataan beliau disokong oleh rakyat AS
dan beliau turut berpendapat penglibatan AS dalam perang tersebut hanya akan
memberi kesan negatif serta tidak mendatangkan keuntungan kepada AS sendiri.
Pada masa yang sama juga, terdapat segolongan rakyat AS yang menolak
penglibatan AS dalam perang serta menentang sebarang pergerakan yang boleh
membawa AS ke dalam kancah peperangan. Golongan ini dikenali sebagai pacifists. Antara tokoh-tokoh pacifist termasuklah Jane Addams dan
Setiausaha AS sendiri iaitu William Jennings Bryan.9
Golongan pacifists ini menolak
kekerasan dan perang sebagai jalan penyelesaian.

Dengan
itu dapat difahami bahawa AS mengamalkan dasar berkecuali dalam Perang Dunia
Pertama pada tahap awal akan tetapi ianya adalah sukar untuk dilaksanakan. Hal
ini kerana AS mempunyai rakyat dari pelbagai latar belakang. Menurut bancian
pada tahun 1910, didapati bahawa satu per tiga rakyat AS lahir di luar negeri
atau merupakan anak kepada ibu bapa dari luar negeri.10
Jumlah satu per tiga ini mewakili seramai 32 juta orang rakyat AS. Daripada
jumlah 32 juta ini, 10 juta daripadanya datang dari Jerman dan Austria-Hungary.
Mereka jelas-jelas memihak dan menyokong Jerman dalam perang tersebut manakala
rakyat AS yang berketurunan Irish, Czech, Slovak dan Serbia pula turut memihak
kepada Kuasa Paksi. Akan tetapi, rakyat AS yang berketurunan British serta
Kanada memihak dan menyokong Kuasa Bersekutu. Oleh yang demikian, keputusan
untuk menjalankan dasar berkecuali bukanlah suatu perkara yang mudah buat AS.

Tidak
dapat dinafikan bahawa dasar berkecuali yang diamalkan oleh AS telah
melambatkan penyertaan mereka dalam Perang Dunia Pertama yang telah pun rancak
berlaku di benua Eropah. Namun begitu di sebalik semua ini AS mempunyai
justifikasi tersendiri tentang mengapa mereka lewat serta tidak melibatkan diri
dengan lebih awal dalam Perang Dunia Pertama. Lokasi berlakunya Perang Dunia
Pertama itu sendiri telah menjadi salah satu faktor mengapa AS tidak melibatkan
diri dengan lebih awal dalam peperangan ini. Seperti yang diketahui, Perang
Dunia Pertama meletus di benua Eropah iaitu di kawasan Balkan yang letaknya
beribu batu jauh dari kedudukan AS sendiri. Dengan itu secara langsung AS
berpendapat bahawa perang tersebut hanyalah perang yang melibatkan
negara-negara di kawasan Balkan dan jelas-jelas tiada kena mengena dengan AS.
Bagi AS adalah lebih baik jika Eropah sendiri yang menyelesaikan masalah
tersebut kerana ianya berlaku di benua mereka. Ada juga golongan yang menentang
penglibatan AS dalam perang ini dan mencadangkan supaya AS menumpukan kepada
masalah sosial dan ekonomi serta pembentukan sebuah negara yang aman makmur
agar dapat menjadi model kepada negara lain.11

Seterusnya, antara faktor yang melambatkan
penyertaan AS dalam Perang Dunia Pertama ialah kebergantungan negara-negara
yang terlibat dalam peperangan terhadap AS. Peperangan telah mewujudkan
permintaan luar biasa terhadap barangan tertentu. Negara-negara yang terlibat
dalam perang seperti Jerman, Britain, Perancis dan Austria-Hungary sememangnya
tidak dapat memberikan perhatian kepada penghasilan barangan seperti makanan,
pakaian serta peralatan senjata di negara mereka. Hal ini kerana tumpuan mereka
telah dialihkan sepenuhnya kepada peperangan yang sedang berlangsung. Oleh itu,
mereka sangat memerlukan bekalan makanan, pakaian serta peralatan senjata dari
pihak luar. AS dilihat bijak dan melihat keadaan ini sebagai menguntungkan
ekonominya. Kuasa Bersekutu dilihat sangat bergantung kepada AS dari segi
bekalan makanan, peralatan senjata serta bahan mentah perindustrian.12 Buktinya,
pengeksportan senjata api oleh AS telah meningkat dari $500 juta Dolar pada
bulan Januari 1916 kepada $1680 juta Dolar pada bulan Mac 1917. Keadaan ini
ternyata merangsang pertumbuhan ekonomi AS pada ketika itu. Dapat dilihat
semasa perang berlangsung, ekonomi AS berkembang pesat, pengangguran hampir
terhapus dan upah juga meningkat dengan banyak. AS juga mampu melancarkan
beratus-ratus kapal dagang dalam setahun dan ini menjadi satu keperluan penting
kepada Britain apabila Jerman semakin agresif menenggelamkan kapal-kapal dagang
mereka.13

Kepentingan
perdagangan AS juga turut menjadi penyebab mengapa mereka dilihat lambat untuk
terlibat dalam Perang Dunia Pertama. Perdagangan merupakan sektor penting yang
menjadi tunjang utama ekonomi AS. Oleh yang demikian, bagi menjamin hal ini AS
tidak boleh turut serta dalam perang tersebut dan perlu mengambil jalan selamat
iaitu dengan mengamalkan dasar berkecuali. Dasar berkecuali ini membenarkan AS
menggunakan perairan laut secara bebas dan dengan itu AS dapat menjalankan
perdagangan dengan mana-mana pihak yang sedang berperang. Sebaliknya jika AS
terbabit dalam Perang Dunia Pertama pada tahap awal, kapal-kapal dagang mereka
semestinya tidak dapat menggunakan perairan laut secara bebas dan hal ini akan
mendatangkan kerugian kepada AS. Perdagangan di antara Amerika dengan
negara-negara Kuasa Bersekutu mencecah $824.9 juta Dolar manakala dengan Kuasa
Paksi pula mencecah $169.3 juta Dolar dan jumlah ini terus meningkat pada
tahun-tahun berikutnya iaitu lebih kurang $2 bilion Dolar pada 1915 dan $3
bilion Dolar pada 1916.14
Dengan itu AS berjaya menyelamatkan ekonominya daripada kemelesetan. Duta Britain
iaitu Cecil Spring-Rice juga menyatakan perkara yang sama dan hal ini dapat
dilihat pada tahun 1914 di mana jumlah eksport Amerika kepada Kuasa Bersekutu
terhadap makanan berjumlah $40 juta Dollar dan pada tahun 1916 jumlah ini
meningkat kepada $1.3 billion Dolar iaitu sebanyak 32 kali ganda.15

Selain
berdagang dengan negara-negara yang berperang, AS juga turut memberikan
pinjaman kewangan kepada mereka. AS telah memberikan pinjaman sebanyak $2.3
bilion Dolar kepada Kuasa Bersekutu manakala $27 juta Dollar bagi Kuasa Paksi.16
Namun demikian, faktor-faktor di atas hanya mampu menyekat AS daripada
melibatkan diri lebih awal dalam perang tersebut tetapi faktor-faktor tersebut
tidak cukup kuat untuk menidakkan penglibatan AS dalam kancah Perang Dunia
Pertama. Oleh yang demikian, Presiden Wilson telah mengubah dasar berkecuali AS
dalam perang tersebut dan pada 2 April 1917 beliau telah memberi ucapan
peperangan di Kongres. Hal ini memperlihatkan bahawasanya AS benar-benar
komited untuk menyertai peperangan tersebut. Mengapakah pendirian AS yang pada
tahap awal mengambil sikap berkecuali kemudiannya berpaling dengan menyertai
Perang Dunia Pertama? Berikut akan disenaraikan beberapa faktor yang
menyebabkan AS menyertai Perang Dunia Pertama.

Penglibatan
AS dalam Perang Dunia Pertama juga berpunca daripada propaganda  Britain. Sebagai kuasa besar dunia Britain
sememangnya memainkan peranan yang cukup besar selama Perang Dunia Pertama
berlangsung. Peranan ini termasuklah dengan melakukan propaganda terhadap AS
yang akhirnya berjaya membawa AS ke kancah peperangan.17
Britain sebenarnya telah lama mengadakan kempen agar rakyat AS berhati-hati
supaya tidak berhadapan dengan kekejaman pihak Jerman. Berita-berita tentang
kekejaman serta penderitaan mangsa perang akibat daripada serangan Jerman
sering kali dihebohkan oleh Britain. Berita-berita ini dihebohkan dan dijadikan
isu utama bagi meraih simpati rakyat AS. Tidak hanya itu, Britain juga membuat
tuduhan dengan menyatakan bahawa Jerman adalah kuasa yang memulakan Perang
Dunia Pertama manakala Kuasa Bersekutu pula sentiasa digambarkan sebagai pihak
yang memperjuangkan keadilan dan berusaha untuk menamatkan penindasan.

            Propaganda yang dijalankan
kemudiannya menyuburkan perasaan benci rakyat AS terhadap Jerman dan juga Kuasa
Paksi. Hal ini kerana Jerman sering dilihat sebagai kejam dan tidak
berperikemanusiaan. Rakyat AS juga lama kelamaan dilihat lebih cenderung memberi
bantuan kepada Kuasa Bersekutu dalam peperangan tersebut. Sebagai tindak balas
terhadap propaganda Britain, Jerman juga cuba untuk melakukan perkara yang
sama. Untuk itu, kerajaan Jerman telah membelanjakan sebanyak $35 juta Dolar
bagi menerbitkan akhbar The Fatherland
di AS untuk menyebarkan propaganda bagi pihaknya.18
Namun demikian, langkah itu tidak berjaya mengatasi pengaruh propaganda yang
telah dibuat lebih awal oleh Britain. Hal ini berlaku kerana Jerman dilihat
mempunyai pengetahuan sejarah yang terhad tentang sejarah, pemikiran dan
institusi di AS berbanding Britain. Britain lebih arif dengan suasana dan
perkembangan yang berlaku di AS kerana Britain merupakan bekas penjajahnya.
Propaganda Britain juga dilihat lebih berjaya kerana adanya penglibatan
tokoh-tokoh AS yang berpengaruh.

            Antara tokoh-tokoh tersebut
termasuklah juru cakap AS yang berpengaruh seperti Theodore Roosevelt, Elihu
Root, Leonard Wood, Henry Cabot Lodge dan Charles W. Eliot dari Harvard.19
Mereka ini adalah nama-nama besar yang telah menjalankan propaganda bagi pihak
Britain. Selain itu, tokoh politik AS juga dilihat cenderung menyokong Kuasa
Bersekutu terutamanya Britain. Antara tokoh politik AS yang dilihat pro-Britain
termasuklah Walter Hines Page iaitu Duta AS ke Britain dan penasihat peribadi
Presiden Wilson sendiri iaitu Kolonel Edward M. House yang sentiasa melihat
bahawa AS perlu campur tangan dalam perang tersebut kerana bimbang kuasa
ketenteraan Jerman akan mengancam demokrasi di AS sekiranya kemenangan Perang
Dunia Pertama berpihak kepada Kuasa Paksi. Oleh yang demikian, apa yang dapat
diperjelaskan ialah propaganda yang dilakukan oleh Britain secara terancang dan
efektif telah mengubah pendirian AS terhadap penglibatannya dalam Perang Dunia
Pertama. Britain juga sememangnya licik kerana menggunakan kedudukan
tokoh-tokoh tertentu bagi mempengaruhi AS melibatkan diri dalam peperangan ini.

 

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya Perang Dunia Pertama
yang berlangsung antara tahun 1914 sehingga tahun 1918 telah banyak memberikan
kesan khususnya kepada AS. Walaupun AS melibatkan diri dalam Perang Dunia
Pertama di atas kerelaan mereka sendiri akan tetapi sebenarnya terdapat satu
pihak yang bertanggungjawab serta berjaya mempengaruhi dan mengheret AS ke
dalam peperangan tersebut. Pihak ini tidak lain dan tidak bukan adalah Britain
sendiri. Britain ternyata berjaya menyusun strategi dengan bijak dan rapi bagi
memastikan AS akhirnya campur tangan dalam Perang Dunia Pertama. melalui
propaganda licik Britain terhadap AS yang didasari oleh slogan “untuk
menyelamatkan demokrasi bukan menyelamatkan empayar British”, akhirnya Britain
telah berjaya mengheret AS dalam kancah Perang Dunia Pertama.

 

BIBLIOGRAFI

David F. Long.1963. The Outward
View: An Illustrated History of the United States Foreign Relations.  Illinois: Rand McNally & Co.

George Dunlap
Crothers.1964. American History. New
York: Holt, Rinehart and Winston.

Henry N. Drewry.
1984. America Is, Columbus. Ohio:
C.E. Merrill Publication.

 

Jack P. Greene and J.R. Pole.2008.  A
Companion To The American Revolution, United Kingdom: Blackwell Publisher.

 

John M. Blum .1963.
The National Experience: A History of the United States. New York:
Harcourt, Brace & World.

 

Joyce Appleby.
2000. The American Journey: Building A
Nation. New York: McGraw-Hill

 

J.Q Adams and Pearlie Strother Adams. 2001.  Dealing
With Diversity.  Chicago: Kendall
Publication.

 

Paul M. Kennedy,
terjemahan Mohd. Nor Long, Mohamed Diah Isa, Abdul Razak Ator. 1994. Kebangkitan Dan Kejatuhan Kuasa-Kuasa Besar:
Perusahaan Ekonomi Dan Konflik Ketenteraan Dari Tahun 1500 Ke 2000.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shakila Yacob. 2005.  Amerika
Syarikat Pembentukan Negara Bangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Thomas Bender.2006.  A Nation
Among Nations: America’s Place In World History. United States: New York
Hills and Wang.

 

William Safire. 2007. The New York Times Guide to Essential Knowledge, Second Edition: A Desk
Reference For The Curious Min.  United
States: St. Martin’s Press.

 

1 William Safire,2007,  The New York Times Guide to Essential
Knowledge, Second Edition: A Desk Reference For The Curious Mind, United States:
St. Martin’s Press, hlm. 632.

2 J.Q Adams and Pearlie Strother Adams, 2001, Dealing With Diversity, Chicago: Kendall Publication, hlm. 1.

3 Jack P. Greene and J.R. Pole, A
Companion To The American Revolution, United Kingdom: Blackwell Publisher,
2008, hlm. 352.

4 Thomas Bender, 2006, A Nation
Among Nations: America’s Place In World History, United States: New York
Hills and Wang, hlm. 61.

5 Henry N. Drewry, 1984,  America
Is, Columbus, Ohio: C.E. Merrill Pub., hlm. 485.

6 Joyce Appleby, 2000,  The
American Journey: building a nation, New York: Glencoe/McGraw-Hill, hlm.
655.

7 Joyce Appleby, 2000,  The
American Journey: Building A Nation, New York: Glencoe/McGraw-Hill,  hlm. 656.

8 George
Dunlap Crothers,1964,  American History, New York: Holt,
Rinehart and Winston, hlm. 182.

9 Henry
N. Drewry, 1984, America Is, Columbus,
Ohio: C.E. Merrill Pub, hlm. 491.

10 Shakila
Yacob, 2005, Amerika Syarikat Pembentukan
Negara Bangsa, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

11 John M.
Blum ,1963, The National Experience: A
History of the United States, New York: Harcourt, Brace & World, hlm.
557.

12 Shakila Yacob 2005, Amerika Syarikat Pembentukan Negara Bangsa,
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 211.

13 Paul M.
Kennedy, terjemahan Mohd. Nor Long, Mohamed Diah Isa, Abdul Razak Ator, 1994, Kebangkitan Dan Kejatuhan Kuasa-Kuasa Besar:
Perusahaan Ekonomi Dan Konflik Ketenteraan Dari Tahun 1500 Ke 2000, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 363.

14 David F.
Long,1963,  The Outward View: An Illustrated History of the United States Foreign
Relations, Illinois: Rand McNally & Co, hlm. 246.

15 Shakila Yacob2005,  Amerika
Syarikat Pembentukan Negara Bangsa, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,  hlm. 211.

16 Ray
Allen Billington,1963,  American History After 1865, New Jersey:
Adam & Co, hlm. 145.

17 Joyce Appleby, 2000, The American Journey: building a nation,
New York: Glencoe/McGraw-Hill, hlm. 661.

18 Shakila Yacob,2005,  Amerika
Syarikat Pembentukan Negara Bangsa, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
hlm. 209.

19 Shakila Yacob,2005,  Amerika
Syarikat Pembentukan Negara Bangsa, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
hlm. 210.